Situasi rumit memastikan pasangan sesuai untuk digandingkan dengan Goh V Shem-Tan Wee Kiong adalah faktor mengapa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil masa untuk memutuskan masa depan mereka.

Pemain berkualiti dalam skuad beregu lelaki terhad dan tidak ada yang menghampiri kualiti V Shem-Wee Kiong.

Sukar untuk memisahkan pasangan beregu kedua terbaik negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, memandangkan mereka menampilkan peningkatan konsisten.

Loh Juan Shen-Chooi Kah Ming serta beregu muda, Goh Sze Fei-Izzudin Rumsani, adalah empat lagi beregu yang melengkapkan pilihan gantian untuk skuad senior.

Soal keseimbangan skuad beregu lelaki juga akan terjejas dengan sebarang perubahan yang akan diputuskan.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria Norza, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM menegaskan keputusan akhir kekal di tangan badan induk itu.

Perkembangan itu sekaligus menawarkan petanda faktor keharmonian skuad yang merupakan komponen penting untuk misi memenangi Piala Thomas 2018 akan diberikan keutamaan.

"Sama ada V Shem-Wee Kiong akan dipisahkan belum dapat dipastikan lagi.

"Sebagaimana yang kita tahu, kita hanya mendengar pengesahan daripada V Shem bahawa dia menghadapi masalah dengan Wee Kiong.

"Wee Kiong kini berada di Vietnam untuk berjumpa dengan jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit, untuk memberikan penjelasan.

"Kami berharap apa jua keputusan yang dibuat akan diperincikan dalam mesyuarat C&T seminggu lagi dan kami juga ingin tahu sekiranya mereka dipisahkan siapakah kombinasi baru mereka, sama ada ia boleh diterima atau tidak," katanya.