Hasrat beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, untuk berlatih bersama skuad kebangsaan sekurang kurangnya tiga kali seminggu lebur apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetap dengan pendirian tidak memberi layanan istimewa kepada mana-mana pemain profesional.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, menegaskan layanan yang adil perlu diberi kepada setiap pemain profesional.

Permintaan beregu campuran di ranking keenam dunia itu tidak dapat ditunaikan kerana enggan isu layanan berat sebelah timbul memandangkan persetujuan telah dicapai untuk mereka membawa haluan sendiri tahun ini.

Norza yang ditemui selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BAM hari ini percaya mereka tidak akan berdepan masalah besar dalam merangka program sendiri tanpa perlu bergantung kepada latihan di bawah induk itu walaupun hanya tiga kali seminggu.

"Kami juga bersetuju bahawa apabila anda seorang pemain bebas, anda akan dilayan seperti seorang pemain profesional. Usah bercakap mengenai sebarang nama seperti Peng Soon atau Liu Ying. Kami juga harus bercakap tentang pemain lain," ujar Norza.

"Sesiapa yang kami boleh bantu, kami akan cuba tetapi polisi tetap perlu diikut agar segalanya jelas. Semuanya perlu dilayan dengan adil."

Sementara itu, Peng Soon menerima keputusan BAM dengan hati terbuka tanpa menganggap ia satu masalah besar dan kini perlu segera mencari gelanggang latihan bersesuaian dalam masa terdekat untuk mempersiapkan diri ke saingan Masters Indonesia minggu depan.

"Saya rasa ia bukan satu masalah besar. Ramai pemain bebas ketika ini dan mereka juga tampil bagus. Jadi, ia tampak berpeluang dan membuatkan kami bersemangat," kata Peng Soon.