Teka teki siapa yang akan membarisi skuad badminton negara dalam Kejohanan Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, bulan depan terjawab apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan menyenaraikan pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, dan pemain beregu campuran, Cheah Yee See, dalam skuad 17 pemain utama negara.

Iskandar sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan serius di bahagian belakang sejak awal tahun ini dan dijangka berehat panjang.

Namun, BAM membuat keputusan mengejut dengan menyenaraikannya dalam kunjungan ke Gold Coast dan yakin pemain itu mampu bangkit berdasarkan pemantauan ke atas prestasinya berdasarkan sesi latihan dan laporan kesihatannya.

"Kami yakin dia telah dipersiapkan untuk Piala Sudirman," kata Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Sementara itu, Yee See akan digandingkan dengan pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon.

Tindakan ini terpaksa dilakukan susulan pasangan Peng Soon, Goh Liu Ying, masih dilanda kecederaan serius dan BAM mahu Liu Ying menumpukan perhatian kepada sesi pemulihan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Ogos depan.

"Saya sedar ia adalah pemilihan yang mengejutkan.

"Bagaimanapun, saya telah berbincang dengan banyak pihak. Kami memutuskan Yee See calon terbaik untuk digandingkan bersama Peng Soon.

"Mereka tidak pernah menyertai kejohanan bersama-sama, tetapi kami telah banyak menguji mereka dalam sesi latihan.

"Gandingan mereka agak bagus," ujar Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost.

Selain Iskandar dan Yee See, barisan pemain yang akan menggalas cabaran negara di Gold Coast -- dari 21 hingga 28 Mei -- akan diketuai jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, juara Remaja Dunia 2015, Goh Jin Wei, beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dan beregu wanita, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei.

Bagi kempen Piala Sudirman, Malaysia meletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir.