Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan maruah menerusi barisan jaguh dalam pembikinan menjelang Kejohanan Berpasukan Asia bulan depan.

Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, akan memimpin skuad lelaki yang berwajah baru tatkala tiket kelayakan ke pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber di Aarhus, Denmark menjadi pertaruhan dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina.

Cabaran skuad lelaki menjadi persoalan dalam saingan itu tanpa pengaruh Datuk Lee Chong Wei sebelum senarai akhir dikeluarkan BAM.

Selain Zii Jia, persorangan yang akan turut membawa cabaran Malaysia adalah Cheam June Wei, juara Kejohanan Remaja Asia 2017, Leong Jun Hao, dan Ng Tze Yong, sekali gus menjadikan purata usia wakil kali ini sekitar 21.5 tahun.

"Status permainan dan pengalaman, buat masa sekarang mereka adalah pencabar, tidak semestinya mereka tidak boleh main tetapi kemenangan sangat subjektif kecuali berbekalkan tuah untuk menyerlah," kata ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek.

"Bagi saya, ini pasukan terkuat untuk BAM sekarang. Kami perlu bekerjasama dalam satu pasukan dan saya percaya dengan kemampuan Jun Hao, June Wei dan Tze Yong. Mereka akan berjuang bersama saya dan melakukan yang terbaik. Saya juga harap keputusan yang baik dapat diraih serta mengekalkan pencapaian sebelum ini dengan mara ke separuh akhir," ujar Zii Jia.




Editor: Nafis Abdullah