Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya akan mempertaruhkan 16 pemain muda dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Asia yang berlangsung di Hong Kong bulan depan tanpa penyertaan skuad senior.

Tiada kelibat pemain senior dan profesional yang akan beraksi di sana apabila BAM hanya ingin memberi pendedahan sepenuhnya kepada skuad muda, termasuk gandingan beregu lelaki nombor tiga negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Jelas Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pelbagai sudut dengan menganggap ini adalah masa paling tepat untuk mereka diuji dalam kejohanan berkenaan tanpa perlu lagi bergantung harap kepada pemain sama sahaja.

Namun, masih terlalu awal untuk meletak sasaran tinggi kepada mereka di mana pada edisi pertama dua tahun lalu, Malaysia tersingkir dalam pusingan suku akhir kepada China.

"Ia akan menjadi pengalaman yang berkualiti buat barisan pemain muda dalam kejohanan utama ini," kata Choong Hann.

Sementara itu, jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, ingin memastikan taruhan dua pasangan, Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, dalam Kejohanan Masters Sepanyol dan Terbuka Jerman membuahkan hasil positif.

Ini kerana tiada seorang pun wakil beregu wanita akan beraksi dalam Seluruh England bulan depan dan dua kejohanan di Eropah itu perlu diharungi sebaik-baiknya untuk membuktikan kemampuan mereka masih lagi relevan.

Jelas Rosman, ia bukan menjadi masalah besar apabila tidak menyertai Seluruh England kerana menyedari prestasi dalam kem beregu wanita negara yang tidak konsisten dan perlu diperhalusi terlebih dahulu.

"Kami tidak memiliki barisan skuad beregu yang besar. Saya berharap pemain-pemain muda negara dapat membuahkan persembahan positif di Sepanyol dan Jerman," katanya.