Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, menganggap perubahan tidak boleh dilakukan tanpa menjalani kajian semula terhadap skuad remaja negara bagi mengelakkan kesilapan berulang.

Tuah tidak berpihak kepada skuad remaja negara selepas gandingan beregu campuran, Yap Roy King-Gan Jin Err, gagal membantu negara untuk meraih mata apabila tewas 2-3 kepada wakil Hong Kong dalam acara berpasukan Kejohanan Remaja Dunia di Kazan, Russia, minggu lalu.

Kenny menganggap kegagalan itu perlu dikaji semula bagi memperbaiki prestasi skuad muda negara yang akan menggalas tanggungjawab besar kelak.

Kajian itu juga akan mengambil kira soal kualiti pemain, program latihan mahupun barisan kejurulatihan sedia ada.

"Kami perlu kaji semua masalah.

"Adakah ia berpunca kepada struktur kejurulatihan atau latihan, adakah kualiti dan kuantitinya mencukupi," katanya Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Sementara itu, Kenny juga berpendapat kelebihan berpihak kepada skuad negara setelah mendapat undian seimbang dalam Sukan SEA Filipina bulan depan.

Pasukan lelaki negara, yang diletakkan sebagai pilihan kedua temasya, akan berdepan tuan rumah, Filipina, dalam pusingan pertama dan dijangka bertemu Singapura di peringkat separuh akhir sementara juara bertahan, Indonesia, dan Thailand pula hampir pasti akan saling merebut satu lagi slot final.

Pasukan wanita pula diramalkan akan melepasi halangan Kemboja dalam pusingan pertama tetapi berdepan laluan berliku di peringkat separuh akhir ketika bertemu juara bertahan, Thailand, selaku pilihan utama.

"Saya setuju dengan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann. Walaupun undian nampak mudah buat pasukan lelaki, kami seharusnya mengambil serius perlawanan yang akan dihadapi," katanya.