Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menafikan beberapa pendekatan diambil, termasuk menggantung penyertaan pemain ke kejohanan pada bulan ini, sebagai langkah mengatasi masalah kewangan, sebaliknya memandang kepada kelangsungan prestasi skuad kebangsaan.

BAM menerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) difahamkan akan bermesyuarat 7 Jun ini bagi membincangkan prestasi skuad negara bagi enam bulan pertama musim 2018.

Setakat ini, Malaysia gagal mencapai beberapa objektif dalam dua kejohanan penting, Sukan Komanwel Gold Coast serta Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Antara perkara yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah mengkaji semula penyertaan pemain pelapis ke kejohanan antarabangsa.

Malah, BAM juga menegaskan serius untuk menggugurkan pemain di bawah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pada Ogos ini.

"Kami tidak mahu setakat menghantar pemain, kemudian mereka pulang selepas terkandas dalam pusingan pertama.

"Kami ingin mengkaji kedudukan tersebut dan kami akan memperincikan tahap-tahap kejohanan yang akan disertai mereka.

"Kami akan mengenal pasti faktor pulangan kos. Ini bermakna mereka perlu ada pencapaian-pencapaian tertentu jika dihantar menyertai kejohanan.

"Kami tidak lagi menganggap menghantar pemain sehingga 15 kejohanan (merupakan satu keperluan) tetapi mereka tidak mencapai keputusan-keputusan yang baik," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.