Masih belum ada sebarang usaha daripada pihak tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mendamaikan hubungan pemain nombor satu lelaki negara, Datuk Wira Lee Chong Wei dan pengarah teknikal, Morten Frost.

Biarpun Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, serta Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, memberi saranan agar kedua-dua pihak berdamai, namun buat masa ini tiada petanda kemelut itu akan berakhir.

Ini berdasarkan pengesahan Frost yang berkata masih belum ada usaha daripada pegawai tertinggi BAM untuk bertindak selaku orang tengah bagi menyelesaikan isu terbabit.

Buat masa ini, Frost dan Chong Wei sudah memberi penjelasan kepada hierarki BAM mengenai ketegangan di antara mereka.

"Sepertimana yang Chong Wei lakukan, saya juga sudah bercakap dengan pihak pengurusan dan menceritakan kisah saya.

"Setakat ini itu sahaja. Sejujurnya, saya sedih dengan apa yang berlaku tetapi hidup perlu diteruskan," ujar Frost.

Sekalipun kedua-dua individu penting dalam arena badminton Malaysia itu tidak bertegur sapa, Frost masih mengambil berat tahap kecederaan Chong Wei yang kini masih dalam proses pemulihan.

Frost juga berharap kecederaan ligamen kolateral medial (MCL) di lutut kiri Chong Wei akan pulih lebih awal daripada jangkaan.

"Dia sedang menjalani sesi pemulihan dan seperti biasa, dia mengikuti nasihat dengan baik.

"Saya juga telah bercakap dengan ahli fisionya, Sandra, dan dia memberitahu saya bahawa Chong Wei menampakkan kemajuan," tambahnya.