Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan dua pemain perseorangan lelaki dan dua pasangan beregu wanita negara digantung daripada menyertai tiga kejohanan.

Keputusan itu dibuat gara-gara tahap kecergasan mereka tidak menepati piawaian yang ditetapkan badan induk itu.

Tanpa mendedahkan nama, BAM akan mengutus surat amaran buat kesemua permain berkenaan dan berharap hukuman itu akan memberi pengajaran agar mereka meningkatkan prestasi dalam masa terdekat.

"Kami akan menghantar surat kepada mereka bagi memaklumkan bahawa kami telah memutuskan untuk tidak menghantar mereka dalam tiga kejohanan.

"(Hukuman itu dikenakan) sehinggalah mereka memperbaiki tahap fizikal mereka," kata Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.