Persatuan Badminton Malaysia (BAM) enggan menekan butang panik terhadap isu krisis prestasi beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, selepas tersingkir dalam pusingan pertama Siri Super Terbuka Australia, hari ini.

Ini kejohanan pertama V Shem dan Wee Kiong selepas direhatkan daripada menyertai Siri Super Premier Terbuka Indonesia minggu lalu.

Di Sydney, gandingan No. 1 negara ini tewas dalam pertembungan tiga set 21-16, 13-21, 13-21, kepada pasangan Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko.

BAM, bagaimanapun, akan menyerahkan kepada ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit, untuk menangani kemelut ini.

"Pada masa sekarang, memang pasangan ini di bawah Soon Kit. Saya rasa biarlah beri sedikit masa kepada strukur baru kejurulatihan kerana ia melibatkan aspek peribadi," kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Skuad beregu campuran terus memacu reputasi negara di Sydney dengan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menyingkirkan juara Sukan Olimpik Rio, Tontowi Ahmad-Lilyana Natsir, 21-17, 21-16.

"Saya rasa beregu campuran beraksi baik. Saya rasa masih lagi banyak kerja yang perlu dilakukan, termasuk beregu lelaki, terutama mengembalikan keyakinan V Shem dan Wee Kiong," tambahnya.

Sementara itu, pemain perseorangan profesional negara, Zulfadli Zulkiffli, mara ke pusingan kedua selepas menundukkan Takuma Ueda, 21-18, 21-19.

Keputusan hari ini:-

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani kk Lu Ching Yao-Yang Po-han 13-21, 11-21.

Sonia Cheah Su Ya mn Cheung Ngan Yi 21-14, 21-15.

Chan Peng Soon-Cheah Yee See mn Takuro Hoki-Sayaka Hirota 14-21, 21-19, 21-14.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mn Tontowi Ahmad-Lilyana Natsir 21-17, 21-16.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong kk Takuto Inoue-Yuki Kaneko 21-16, 13-21, 13-21.

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mn Simon Wing Hang Leung-Mitchell Wheller 21-6, 21-11.

Zulfadli Zulkiffli mn Takuma Ueda 21-18, 21-19.