Kedudukan pemain beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, dalam skuad ke Piala Thomas, Mei depan bakal terjejas apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah drastik membawa masuk tiga lagi pemain baru ke kem kebangsaan.

Tiga nama yang bakal diserap masuk adalah naib juara kebangsaan 2018, Nur Azriyn Ayub dan Mohd Arif Latif serta Lim Khim Wah.

Untuk rekod, mereka pernah bersama BAM sebelum masing-masing keluar daripada badan induk itu untuk menjadi pemain profesional.

Cadangan membawa masuk tiga pemain itu timbul selepas Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, tidak berpuas hati dengan prestasi Ee Yi dan Yew Sin sejak kebelakangan ini.

Ketiga-tiga pemain itu akan dijemput berlatih dalam kem kebangsaan dan jika mereka menampilkan prestasi membanggakan, kemungkinan BAM akan menyenaraikan mereka menjadi sebahagian daripada skuad Piala Thomas.

"Menjelang Piala Thomas, kami akan memanggil tiga pemain ini secara percubaan untuk berlatih dan jika menampilkan persembahan yang cemerlang, mereka mungkin akan beraksi dalam Piala Thomas," katanya.

"Buat masa ini, saya tidak berpuas hati dengan persembahan Ee Yi dan Yew Sin."

Selain itu, tiada lagi zon selesa bukan sahaja buat pemain, malah mana-mana jurulatih yang gagal membantu menaikkan prestasi anak buah masing-masing, akan turut berdepan risiko disingkirkan BAM.

Ia rentetan prestasi skuad negara yang kian merudum, dengan yang terbaru tiada langsung wakil negara berjaya mara ke peringkat separuh akhir mahupun final Kejohanan Seluruh England minggu lalu.

"Setiap kecemerlangan pemain, ia adalah bergantung kepada jurulatih mereka. Saya mahu melihat kesungguhan pemain-pemain beraksi kerana ia adalah cerminan kepada pengendali mereka," katanya lagi.