Pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, menganggap mereka mempunyai rehat yang cukup untuk kembali bertarung di laman sendiri dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, bermula esok hingga 1 Julai ini.

Gandingan itu masih segar dengan kejayaan menggondol kejuaraan dalam Terbuka Amerika Syarikat minggu lalu.

Bakal membawa momentum kemenangan dalam Terbuka Malaysia, Peng Soon dan Liu Ying tetap berwaspada dengan keadaan fizikal mereka.

Ia sebagai iktibar supaya insiden ketika Januari lalu tidak berulang, di mana selepas menjuarai Masters Thailand, mereka kurang cergas untuk bersaing dalam Masters Malaysia, sekali gus tersingkir di peringkat suku akhir.

"Walaupun sebelum ini ada kesukaran, kami mempunyai cukup masa untuk perbetulkannya. Ia juga sebagai persediaan untuk Terbuka Malaysia," kata Liu Ying.

Dengan dua kejuaraan sudah digenggam setakat ini, ia melonjakkan motivasi pasangan itu yang memburu kedudukan 10 terbaik dunia tahun ini.

Peng Soon dan Liu Ying bakal menempuh laluan sukar apabila bertemu gandingan yang berada di ranking ke-10 dunia, Wang Chi-lin-Lee Chia-hsin dari Taiwan.

"Memang dalam Terbuka Malaysia tahap pemainnya tinggi. Kalau boleh menang mengatasi wakil terbaik, kami lagi gembira," kata Peng Soon.