Beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, mara ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan China, Wang Yilyu-Huang Dongping, dalam suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia, hari ini.

Dalam aksi 38 minit di Stadium Istora Senayan itu, Peng Soon-Liu Ying menumpaskan pilihan kedua kejohanan tersebut 21-19, 21-14.

"Mereka beregu yang bagus tetapi kami berjaya lakukan yang terbaik," kata Peng Soon yang pernah tewas kepada pasangan itu dalam Terbuka Korea 2017 ketika bergandingan dengan Cheah Yee See.

Pasangan Malaysia itu akan berdepan satu lagi gandingan China yang juga pilihan keempat, Zheng Siwei-Huang Yaqiong, dalam aksi separuh akhir, esok.

Satu lagi saingan separuh akhir melibatkan pertemuan beregu elit Indonesia yang juga pilihan pertama, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, berdepan rakan senegaranya, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja.

-- BERNAMA