Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, menempah pertemuan menentang pemain Jepun, Kento Momota, dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Stadium Istora Senayan, esok.

Pemain pilihan ketujuh itu mara ke separuh akhir selepas menewaskan Kantaphon Wangcharoen dari Thailand 21-13, 22-20 dalam suku akhir, hari ini.

Momota, yang kalah kepada Chong Wei dalam final Terbuka Malaysia, Ahad lalu, menewaskan wakil Indonesia, Tommy Sugiarto, 21-11, 21-15 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Dalam final Terbuka Malaysia, Chong Wei mengalahkan Momota 21-17, 23-21 untuk meraih gelaran ke-12.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan suku akhir hari ini, Chong Wei, 35, berkata dia akan bermain pada tahap terbaik untuk mengulangi kemenangan ke atas Momota yang akan mencecah usia 23 tahun esok.

Terbuka Indonesia, yang bermula Selasa hingga Ahad ini, menawarkan hadiah wang tunai sebanyak USD1.2 juta (RM4.8 juta).