Pilihan pertama, Faiz Rozain, mengetuai kemaraan ke pusingan ketiga perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Kebangsaan B-21 di Kuala Terengganu, hari ini.

Wakil tuan rumah, Faiz, mudah mengatasi G. Vimal 21-10, 21-4 siang tadi manakala pilihan kedua, K. Jhothiswaran, menang 21-11, 21-9 ke atas Danial Hakim Zabidi.

Dalam masa sama, acara beregu lelaki menyaksikan Muazzam Danish Hanafi dan Muhammad Haikal Nazri, turut mara selepas mengatasi Khoo Kwang Yean dan Lau Yi Sheng 21-18, 19-21, 21-12.

Dengan itu, gandingan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu akan berdepan pilihan utama, Muhamad Amar Mohd Sani dan Muhamad Amir Mohd Sani, esok.

Turut akan turun ke gelanggang esok ialah pilihan kedua, Boon Xin Yuan dan Yap Qar Siong, menentang Sim Wee Peng dan Sim Wee Sheng.

Sementara itu, acara perseorangan wanita menyaksikan pemain BAM, Oh Jia Qi, mengalahkan Davincy Saha Dyvylyn Saha 21-12, 21-16.

Menanti Jia Qi dalam pusingan berikutnya adalah pilihan utama dari Pulau Pinang, Kong Yi Jin.