Dengan tiket suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia dalam genggaman skuad wanita, kini mereka mahukan gelaran sebagai juara kumpulan.

Malaysia berjaya melayakkan diri ke suku akhir selepas menewaskan Vietnam 4-1 dan terbaru, menundukkan Filipina 5-0 di Alor Setar, Kedah, hari ini.

Aksi menentang Filipina menyaksikan barisan perseorangan yang ditampilkan tidak mengecewakan untuk mengesahkan kemenangan awal pada kedudukan 3-0.

Soniia Cheah, Goh Jin Wei dan Lim Yin Fun yang menggantikan S. Kisona masing-masing menewaskan lawan dengan kemenangan straight set.

Malaysia dan Thailand akan berentap esok untuk merebut kedudukan teratas kumpulan bagi mengelak pasukan berstatus pilihan dalam undian semula peringkat suku akhir.

"Menjadi juara kumpulan adalah lebih baik kerana kami akan bertemu pasukan bukan pilihan. Sudah tentu kami akan memburu tempat teratas kumpulan. Ia adalah penting bagi kami. Bagaimana keputusan esok tetapi kami akan beraksi bersungguh-sungguh," kata Soniia.

"Kami akan berusaha untuk menjadi juara kumpulan. Tetapi lawan dalam aksi terakhir, iaitu Thailand, bukan calang-calang pasukan.

"Pemain-pemain saya akan bermain bermati-matian. Tekanan bukan kepada kita tetapi Thailand. Walaupun kita tuan rumah, di atas kertas mereka adalah pasukan pilihan," kata ketua jurulatih skuad wanita negara, Datuk Tey Seu Bock.