Skuad lelaki negara dikejutkan dengan kekalahan 2-3 di tangan Thailand dalam aksi pembukaan peringkat Kumpulan C, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, malam ini.

Datuk Lee Chong Wei memulakan saingan dengan sempurna menentang Khosit Phetpradab selepas hanya memerlukan masa 33 minit untuk meraih kemenangan 21-13, 21-9.

"Ini adalah kelayakan Piala Thomas. Ia kejohanan penting bagi saya, bukan untuk individu tetapi pasukan.

"Saya harap dapat kekal menyumbang mata untuk pasukan. Ia juga untuk memberikan keyakinan kepada mereka," kata Chong Wei.

Dalam pada itu, tidak dinafikan beregu lelaki, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, berdepan lawan yang mempunyai kualiti tersendiri, Kittinupong Kedre-Dechapol Puavanukroh.

Permulaan set pertama menerusi kemenagan 21-16 gagal dimanfaatkan V Shem-Wee Kiong apabila mereka tewas dua set berikutnya 19-21, 20-22.

"Siapa yang turun akan mahu dapatkan mata. Bukan cakap kamu turun, kamu mesti menang, mungkin ada yang kalah ada yang menang.

"Yang penting, kita berusaha dengan apa yang kita mampu," kata Wee Kiong.

Sementara itu, perseorangan lelaki kedua, Lee Zii Jia, pula mengembalikan kelebihan buat Malaysia berdepan lawan di ranking lebih tinggi, Suppanyu Avihingsanon.

Sejumlah 13 anak tangga memisahkan mereka, dengan Zii Jia di kedudukan 47 dunia, tetapi anak jati Alor Setar itu tidak mengecewakan penyokong selepas melakar kemenangan 21-14, 21-12.

"Sebelum turun beraksi agak tertekan sedikit. Jurulatih (Datuk Misbun Sidek) ada cakap jangan banyak fikir. Teruskan bermain sahaja. Jadi, saya menang," katanya.

Skuad negara selepas itu sekali lagi dikecewakan oleh beregu, kali ni gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Pasangan lawan, Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash, mudah membuatkan gandingan negara itu berputih mata 21-17, 21-11, sekali gus mengikat kedudukan 2-2.

Tekanan kemudiannya dirasai Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang diletakkan harapan terakhir untuk memastikan kemenangan Malaysia menentang wakil Thailand, Kantaphon Wangcharoen.

Bagaimanapun, dia gagal mencipta impak sepertimana aksi cemerlang ketika Terbuka India apabila kecundang menerusi straight set 13-21, 14-21 untuk Malaysia tewas 2-3 kepada Thailand.

Kekalahan itu menyukarkan laluan Malaysia untuk layak secara merit ke Piala Thomas di Bangkok, Mei nanti.

Skuad badminton lelaki negara akan turun menentang Myanmar dalam perlawanan kedua esok, bermula jam 7 malam.