Skuad lelaki negara sudah bersedia berentap dengan Taiwan bagi merebut kedudukan sebagai juara Kumpulan C, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, dari 6 hingga 11 Februari ini.

Selain Taiwan, Malaysia turut bersama Thailand dan Myanmar dalam kejohanan itu yang juga kelayakan ke Piala Thomas.

Mengulas mengenai cabaran tiga negara itu, jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, bersikap berwaspada memandangkan badminton mereka sudah menunjukkan perkembangan sejak beberapa tahun lalu.

"Walaupun nampaknya nama-nama biasa, yang penting kami tidak boleh ambil mudah," katanya. "Mereka adalah negara-negara yang beberapa tahun ini telah maju seperti Thailand dan Taiwan.

"Ini adalah satu saingan yang saya rasa perlu diambil iktibar supaya jangan terlepas," ujarnya.

Misbun turut mengharapkan Malaysia muncul juara peringkat kumpulan sebelum meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir.

"Saya harap-harap begitu.Tetapi yang penting bagaimana prestasi yang kami mahu tonjolkan. Dengan prestasi yang baik dapatlah keputusan yang baik," katanya lagi.

Pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, menawarkan perspektif tanpa prejudis terhadap apa yang sedang bermain di fikirannya yang bakal memainkan peranan sebagai perseorangan kedua.

Ini juga ketika peminat badminton tanah air masih belum yakin dengan prestasinya dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

"Saya memang yakin sebab kami berlatih bersama. Soal kerjasama tidak perlu cakap, memang kuat. Joo Ven dan Iskandar pun kita boleh nampak keputusannya. Saya yakin terhadap mereka," katanya.

Bagi skuad beregu lelaki, kebangkitan semula Goh V Shem dan Tan Wee Kiong ibarat tepat pada waktunya ketika Taiwan memiliki skuad berkualiti.

"Saya rasa ia adalah undian yang seimbang dan saya rasa kami pun ada peluang. Kita sudah tahu undiannya, jadi yang paling penting kita perlu mempersiapkan barisan regu," kata jurulatih beregu lelaki negara, Rosman Razak.