Skuad wanita negara boleh memandang tinggi semangat juang barisan perseorangan sebagai inspirasi untuk terus memacu misi dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah.

S. Kisona pernah mengalami duka di venue kejohanan itu apabila mengalami kecederaan lutut serius ketika mewakili skuad remaja dunia negara empat tahun lalu.

Dia yang masih trauma untuk beraksi di sana, memaksa diri mengatasi belenggu itu untuk memastikan kemenangan milik Malaysia pada kedudukan 3-0.

"ACL, MCL, LCL (kecederaan ligamen) semuanya ada," katanya selepas menundukkan Dinh Thi Phuong Hong, 21-17-21-18.

"Masa itu acara berpasukan dan saya mendapat kecederaan serius. Hari ini saya datang semula. Pada awalnya sata fobia.

"Saya perlu menerima memori itu tetapi memang ada trauma. Kini saya cuba abaikan kisah itu," tambah pemain itu.

Perseorangan pertama dan kedua negara, Soniia Cheah Su Ya dan Goh Jin Wei, turut melalui ujian ke atas perwatakan mereka.

Meskipun masing-masing dicabar hebat lawan Vu Thi Trang dan Nguyen Thui Linh, dua perseorangan utama negara itu tidak mengecewakan bagi menghadiahkan mata buat skuad negara.

"Perlawanan sangat sukar. Saya harap perlawanan di depan lebih baik dan dapat menyesuaikan diri lebih baik dengan gelanggang," kata Jin Wei selepas menewaskan Nguyen Thui 21-11, 21-15.

Sementara itu, Soniia berkata: "Dalam acara berpasukan, mata pertama sangat penting kerana dapat menaikkan semangat pasukan. Menang atau kalah, saya fikir kami berjuang hingga tamat perlawanan."

Soniia menghadiahkan mata pertama buat negara selepas menumpaskan Vu Thi Trang juga dengan straight set 21-15, 21-17.

Malaysia melengkapkan kemenangan ke atas Vietnam 4-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan Y hari ini, dengan Filipina menanti untuk perlawanan kedua peringkat kumpulan esok.