Skuad beregu wanita negara sah hilang khidmat Woon Khe Wei untuk baki Kejohanan Badminton Berpasukan Asia gara-gara mengalami kecederaan lutut kanan ketika menentang Vietnam.

Khe Wei, yang bergandingan dengan Vivian Hoo, telah mempamerkan persembahan cemerlang ketika menewaskan Filipina sebelum ini tetapi terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi seterusnya gara-gara
kecederaan lututnya.

"Kecederaannya itu tidak begitu serius. Mungkin dia tidak akan bermain lagi dalam kejohanan ini tetapi diharapkan dia dapat segera pulih dan tidak perlu berehat panjang," kata Vivian.

Ini bermakana Vivian, yang bakal bergandingan bersama Tee Jing Yi selaku pengganti Khe Wei, akan terus diuji hebat apabila berentap dengan Thailand.

"Mereka adalah dua pemain berbeza walaupun selaku penyerang. Diharapkan kami beraksi lebih baik esok, dapat menyuasaikan diri dengan gandingan dan gelanggang," kata Jing Yi.

Di sebalik persembahan cemerlang skuad wanita negara, ketua jurulatih beregu wanita, Wong Pei Tty, masih belum berpuas hati dengan prestasi semasa anak buahnya.

"Mereka mempunyai kualiti. Tetapi, saya masih tidak berpuas hati dengan taktikal kerana ini kali pertama mereka digandingkan bersama. Perbubahan taktikal masih dilihat belum fleksibel dan mereka harus belajar lagi," katanya.