Kemenangan 4-1 skuad badminton wanita negara ke atas Vietnam dalam aksi pembukaan Kumpulan Y, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia dicalar dengan kecederaan kapten dan pemain beregu utama, Janice Woon Khe Wei.

Ketika Khe Wei dan pasangannya, Vivian Hoo Kah Mun, turun beraksi, Malaysia sudah pun mendahului saingan 3-0.

Beraksi tanpa tekanan, tiada siapa sangka kecederaan lutut kanan sewaktu pertemuan terikat 10-10 menentang gandingan Nguyen Thuy Linh dan Vu Thi Trang menghadirkan berita menggusarkan.

Gandingan negara itu terpaksa menarik diri untuk memberikan Vietnam mata sagu hati.

"Kaki Khe Wei sakit akibat terseliuh. Tidak pasti di bahagian mana tetapi nampaknya di lutut. Mengenai tahap kecederaannya, kami tidak tahu lagi selagi tiada imbasan.

"Kami tidak mahu meneruskan permainan kerana enggan dia mendapat kecederaan lebih serius. Ini (tarik diri) adalah cara terbaik," kata Vivian.

Sebelum kejohanan bermula, Malaysia sudah hilang khidmat Lee Meng Yean yang juga pemain berstatus tonggak buat skuad beregu.

Ini akan menjadi ujian besar buat ketua jurulatih beregu wanita negara, Wong Pei Tty, dalam membentuk skuad bagi menghadapi Filipina esok dan Thailand pada Khamis ini.

"Walaupun merehatkan Khe Wei, kami masih ada pemain lain. Sudah tentu kami tidak boleh jamin menang atau kalah. Walaupun saya meletakkan Khe Wei-Vivian pun, saya tidak boleh jamin menang.

"Tidak adil untuk saya katakan pemain lain tidak boleh beraksi baik. Saya rasa ini adalah peluang untuk membuktikan sejauh mana kehebatan mereka," kata Pei Tty.