Badminton Asia (BA) terus komited untuk mempopularkan sukan badminton kepada negara serantau dengan tumpuan kali ni menjurus kepada penglibatan dan peranan wanita dalam sukan itu diperkasakan lagi menerusi Persidangan Badminton Wanita 2018 yang diadakan di Kuala Lumpur.

Ini merupakan tahun kedua persidangan ini diadakan dan Kuala Lumpur sekali lagi terpilih untuk menjadi tuan rumah.

Persidangan dua hari yang bermula pada Isnin lalu itu disertai empat delegasi dari seluruh rantau Asia yang terdiri daripada jurulatih dan pegawai yang menjadi wakil persatuan badminton negara masing-masing.

Selain memberi tumpuan kepada pembangunan badminton wanita di rantau Asia, turut menjadi objektif persidangan ini adalah untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam program badminton serantau serta melibatkan lebih banyak penyertaan wanita dalam bidang pentadbiran, pengurusan dan kejurulatihan badminton.

"Kami akan menggunakan program yang dikenali sebagai 'Settle Time' untuk mengajar wanita-wanita ini untuk mengaplikasikannya di negara masing-masing, seterusnya membangunkan peranan wanita di negara mereka," kata pengurus pembangunan badan induk Asia itu, Thana Arikrishnan.

"Bagus kerana Badminton Asia mengambil inisiatif ini kerana sasaran program ini adalah bukanlah menyasarkan mereka yang tahu bermain, sebaliknya tidak mempunyai pengetahuan langsung (mengenai badminton)," kata wakil delegasi Filipina, Sheryl Caraig.

Menurut wakil delegasi Kyrgyzstan, Sulaika Mokenova: "Saya banyak belajar selok-belok tentang badminton mengenai bagaimana untuk membuat perancangan selama setahun dan apakah yang perlu dicapai serta bagaimana untuk menjayakannya.

"Saya banyak menerima informasi serta latihan untuk melakukannya, ia sungguh penting."

Bekas atlet olahraga negara, Datuk Marina Chin, turut dijemput sebagai penceramah kepada delegasi untuk berkongsi pengalamannya dalam bidang pengurusan sukan.