Badminton Asia: Chong Wei benam Srikanth untuk ke separuh akhir

Oleh Staff Writer 27 April 2018 26851
Badminton Asia: Chong Wei benam Srikanth untuk ke separuh akhir
Datuk Lee Chong Wei terus melenyapkan ego Srikanth Kidambi apabila menyingkirkan jaguh dari India itu dalam suku akhir Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China, sebentar tadi.

Seakan-akan sudah dapat membaca corak permainan lawan susulan kemenangan dalam final acara individu Sukan Komanwel Gold Coast dua minggu lalu, Chong Wei tidak menghadapi tentangan sengit untuk menang straight set 21-12, 21-15.

Agak mengejutkan apabila Srikanth gagal mempamer aksi mantap bermula set pertama dengan Chong Wei mudah menguasai gelanggang. Malah, pada satu ketika, dia kerap melakukan kesilapan mudah, sekali gus menyaksikan Chong Wei menang 21-12.

Jangkaan untuk melihat aksi lebih mendebarkan dalam set kedua nyata meleset apabila Chong Wei tidak diberikan cabaran sebenar. Srikanth tampak sedikit penat dan memberikan mata mudah buat Chong Wei.

Sisa perjuangan Srikanth semakin layu dengan setiap pukulannya keluar gelanggang sehingga Chong Wei menutup set kedua dengan kemenangan 21-15.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut Chong Wei ke atas Srikanth yang turut menyaksikan ranking pemain India itu jatuh dari tangga pertama ke kedudukan kelima.

Dalam separuh akhir esok, Chong Wei bakal berdepan pemain Jepun, Kento Momota, yang menewaskan Chou Tien-chen dari Taiwan dengan 21-5, 21-13.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen