Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk terus menghidupkan harapan negara dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2019 di Wuhan, China, hari ini.

Beregu negara yang menduduki ranking ke-15 dunia itu dikejutkan oleh wakil Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Won Ho, 15-21, 21-16, 18-21 untuk gagal mara ke peringkat separuh akhir.

Naib juara Seluruh England itu memperoleh kemenangan percuma dalam pusingan kedua semalam untuk mara ke suku akhir selepas bekas juara dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indoensia, menarik diri ekoran masalah kesihatan yang dialami Hendra.

Dalam perlawanan suku akhir di Pusat Sukan Wuhan itu, beregu kebangsaan itu yang tewas dalam set pertama 15-21, bangkit dalam set kedua dengan kemenangan 21-16 untuk menghidupkan kembali harapan negara.

Namun, dalam set penentuan, Aaron-Wooi Yik cuba bangkit ketika ketinggalan 4-10 apabila mengejar lawan di kedudukan 18-19.

Bagaimanapun, kegopohan dan kesilapan kecil yang dilakukan mendorong gandingan negara itu terpaksa menamatkan saingan mereka, sekali gus mengesahkan tiada lagi wakil Malaysia dalam BAC tahun ini.

Sementara itu, Min Hyuk-Won Ho bakal berdepan pilihan kelima dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe, yang sebelum itu mengejutkan wakil tuan rumah yang juga pilihan kedua, Li Junhui-Liu Yuchen, 21-19, 21-18.

Satu lagi perlawanan separuh akhir esok bakal menemukan pilihan pertama dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, menentang pilihan ketiga dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.

-- BERNAMA