Beregu lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub dan Mohamad Arif Abdul Latif, kini dalam proses membiasakan diri dengan corak latihan baru di bawah bimbingan jurulatih, Paulus Firman, selepas melaporkan diri untuk sesi latihan pertama di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini.

Naib juara Kejohanan Cabaran Antarabangsa Osaka 2018 itu memulakan latihan bersama skuad negara dan Paulus kini sedang menilai sejauh mana tahap kecergasan mereka bagi berdepan corak latihan baru.

Semestinya ia berbeza sewaktu masih bergelar pemain profesional selaku perseorangan dan gandingan mereka hanya sempat diuji dalam dua kejohanan antarabangsa, iaitu Cabaran Antarabangsa Malaysia dan Osaka.

Meskipun pernah berada di bawah naungan BAM sebelum ini, ia tetap memberi kelainan buat mereka untuk terus memperbaiki prestasi di tahap terbaik.

"Kami gembira dapat menyertai semula BAM. Tadi kami sempat berbincang dengan jurulatih, Paulus. Dia cuba membantu kami dari segi kecergasan. Untuk itu kami akan memberikan komitmen sepenuhnya.

"Dia akan membantu kami mengatasi kelemahan yang ada dengan menukar corak permainan dan fizikal kami," kata Arif.

Kini, Azriyn dan Arif hanya mengharapkan kejohanan luar negara untuk disertai bulan depan memandangkan peluang untuk ke Piala Thomas agak tipis.

Justeru, hanya Terbuka New Zealand dan Australia menjadi keutamaan bulan depan sekiranya tidak terpilih ke Bangkok.

"Kami ada menyerahkan nama untuk menyertai kejohanan di New Zealand dan Australia, sebaliknya diminta menarik diri.

"Kalau dah sah kami tidak terbabit dalam Piala Thomas, buat apa nak tarik diri.

"Lagipun, kami hanya sempat beraksi dalam dua kejohanan setakat ini," kata Azryin.