Demi memastikan impian mereka untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 cerah, pemain profesional negara, Nur Azriyn Ayub dan Mohammad Arif Latif, sah akan kembali semula bersama kem kebangsaan dan akan mula melapor diri pada Isnin ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk memanggil Azriyn dan Arif serta seorang lagi pemain, Lim Khim Wah, untuk berlatih bersama skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Azriyn dan Arif tidak memberikan sebarang kata putus kerana khuatir terdapat beberapa masalah, khususnya melibatkan penajaan.

Sehinggalah perbincangan di antara kedua-dua pihak semalam, Azriyn dan Arif serta BAM berjaya mencapai kata putus dan mereka akan mula melapor diri kepada jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit, pada Isnin.

"Perbincangan telah dilakukan dengan kelab saya di Jepun dan mereka memberi kebenaran untuk saya menyertai skuad kebangsaan.

"Mereka juga faham sebab saya masih beraksi, dalam usaha menempah solt ke Sukan Olimpik," kata Arif.

Kedua-dua pemain itu pernah bernaung di bawah BAM, namun sebagai pemain perseorangan sebelum masing-masing keluar membawa haluan sebagai pemain profesional.

Dengan kemasukan Azriyn dan Latif, ia bermakna skuad beregu lelaki mempunyai beberapa pilihan untuk persediaan ke Piala Thomas selain gandingan utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani dan Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin.

"Saya sudah bersama pasukan negara di bawah kendalian Cheah Soon Kit, jadi saya perlu mengikuti sesi latihan yang mereka jalankan. Diharapkan saya dapat memberikan komitmen penuh untuk skuad kebangsaan."