Bekas atlet boling tenpin negara, Azidi Ameran, membuktikan disiplin tinggi sebagai atlet membantunya mengharungi kanser darah sejak dua tahun lalu, sekaligus memberi petanda positif kepada perjuangan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Azidi hampir berputus asa selepas disahkan menghidap kanser darah pada 2016 tetapi disiplin sebagai atlet mengajarnya berjuang hingga titisan peluh terakhir dengan mengikut jadual rawatan dan menjaga pemakanan menjadi kunci dia dapat bertahan hingga hari ini.

"Selepas didiagnos menghidap kanser, ia telah menjatuhkan semangat saya. Tetapi saya telah bangkit dan positif terhadap perkara ini dan menjalani proses rawatan," katanya.

Azidi, yang juga suami kepada ratu boling tenpin negara, Shalin Zulkifli, mengikuti perkembangan Chong Wei yang disahkan mengidap kanser hidung.

"Sebagai atlet, kami telah dididik untuk bangkit dan enggan mengaku kalah. Penyakit kanser ini akan menjadi lebih kuat apabila diri tidak melawan," katanya.