Kejutan Lee Zii Jia menawan Terbuka Taiwan seperti ketua jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, pada 1987 tiba tepat pada waktunya.

Ini ketika skuad perseorangan lelaki berdepan prestasi tidak menentu tanpa pengaruh Datuk Lee Chong Wei yang dibelenggu kanser.

Misbun tidak terkecuali menjadi antara yang terkejut dengan pencapaian Zii Jia itu.

Tiada siapa menyangka dia berupaya menidakkan pilihan nombor satu dan pemain di ranking ke-4 dunia, Chou Tien Chen, dalam aksi separuh akhir sebelum unggul di pentas final.

"Yang paling penting adalah potensi.

"Mengenai aspek seperti latihan, itu semua boleh dibentuk dan digilap.

"Saya mengucapkan tahniah atas kejayaannya dan saya turut terperanjat atas kemenangannya sebab selama ini, saya lihat dia masih tidak stabil dalam permainannya.

"Dia masih mencari-cari rentak untuk menangani pemain yang lebih bagus daripadanya serta elemen konsistensi dan latihannya.

"Apabila dia mencapai kemenangan seperti ini, pihak lawan akan mula mencari kelemahan permainannya, ini dia harus ingat," katanya.

Adakah kejayaan ini memadai untuk menjulang Zii Jia sebagai pengganti Chong Wei?

Misbun sebaliknya lebih mahu Malaysia berwaspada dengan tuntutan harapan yang berupaya membunuh semangat seorang pemain muda.

"Ini petanda pemain-pemain muda sepertinya harus ingat bahawa kita sedang mencari pengganti (kepada Chong Wei).

"Persoalannya adakah ia menerusi Zii Jia, Leong Jun Hao ataupun pemain lain, apapun mereka haruslah mengambil kesempatan yang ada," tambahnya.