Selepas latihan selama empat hari, peserta Astro Kem Badminton 2018 mula menyesuaikan diri dengan latihan yang dirangka oleh Persatuan Badminton Jepun (NBA).

Kerjasama yang telah memasuki tahun kelima itu merupakan sebahagian daripada perjanjian yang dimeterai di antara Astro Kasih dan NBA bagi menggalakkan pertumbuhan pemain di peringkat akar umbi.

"Kami baru sahaja memperbaharui perjanjian persefahaman (MOU) bersama NBA.

"Ia merangkumi perjanjian selama tiga tahun dari 2018 hingga 2020.

"Fokus kami adalah untuk menyaksikan ada dalam kalangan peserta Astro Kem Badminton yang akan mewakili negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata Ketua Pengurusan Pemegang Amanah Astro, Salina Ramli.

Dengan persiapan rapi serta kemahiran asas yang baik dalam kalangan peserta, ketua jurulatih remaja Jepun, yang juga ketua program Astro Kem Badminton 2018, Hiroyuki Hasegawa, tidak mempunyai sebarang masalah dalam melatih peserta mengikut corak latihan Jepun.

"Setiap peserta memberikan aksi bertenaga sepanjang latihan.

"Mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh.

"Selepas tiga hari, mereka semakin serasi dengan corak latihan di Jepun," katanya.