Skuad badminton Malaysia memulakan kempen Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) dengan langkah kanan apabila menewaskan Singapura 5-0 di Dewan Sukan Universitas Semarang.

Skuad ASG negara, bagaimanapun, perlu membuat pertembungan dengan pasukan pilihan, Indonesia, esok bagi menentukan juara kumpulan.

Aksi perseorangan wanita, Arena Satu Samin menyumbang mata pertama selepas menewaskan Ung Yi Xing, 18-21,22-20, 21-13 sebelum perseorangan wanita, Nursuhaini Azman, mengalahkan Sabrina Lee 21-14, 21-15.

Khor Jing Wen mengesahkan kemenangan pasukan negara dengan menumpaskan Tan Shi Bin 21-14,15-21, 21-17 dalam perseorangan wanita ketiga.

Beregu wanita, Cheng Su Hui-Cheng Su Yin, kemudian mengatasi Tan Shi Bin-Ung Yi Xing 21-11, 21-7 untuk kedudukan 4-0 sebelum gandingan Arena dan Jing Wen melengkapkan kemenangan Malaysia dengan menewaskan Ashley Lim-Joanna Wu 21-17, 21-14 dalam acara beregu wanita kedua.

"Pada permulaan permainan, saya menghadapi kesukaran untuk membiasakan diri dengan keadaan gelanggang. Saya berjaya mendapatkan sentuhan terbaik dan berjaya membantu skuad Malaysia meraih kemenangan," kata Arena.