Harapan untuk melihat pasukan badminton negara beraksi di pentas final Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) direalisasikan selepas pasukan lelaki dan wanita menewaskan Thailand dalam separuh akhir, sebentar tadi.

Dalam aksi pertama, pemain perseorangan, Chia Jeng Hon, mempamerkan aksi cemerlang apabila mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum menewaskan Surasit Ariyabaraneekul 21-13, 11-21, 21-13.

Gandingan Demon Anthony Samin-Wan Arif Shaharuddin menyumbang mata kedua apabila mengalahkan Chakkaphat Norkhat-Paramet Promsarin 21-13, 14-21, 21-11.

Bagaimanapun, Thailand bangkit merapatkan kedudukan selepas pemain perseorangan kedua negara, Ong Zhen Yi, tewas kepada Puritat Arnee 20-22, 21-19, 20-22.

Aksi keempat gandingan Goh Boon Zhe-Rayner Beh melengkapkan kemenangan Malaysia 4-1 apabila menewaskan Chutiphon Theerakulwijan-Tanawat Pianpramate 21-14, 21-10.

Sementara itu, pasukan badminton wanita negara juga mara ke pentas final selepas menumpaskan Thailand 4-1 dalam separuh akhir.

Pasukan lelaki dan wanita negara bakal berdepan wakil tuan rumah dalam final esok.