Beraksi di laman sendiri ternyata menjadi kelebihan buat Indonesia selepas berjaya menewaskan Malaysia dalam acara badminton berpasukan lelaki dan wanita di pentas final Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) Ke-11, hari ini.

Dalam aksi pertama, pemain perseorangan negara, Chia Jeng mempamerkan aksi hambar apabila tewas kepada Aldo Apriyandi 14-21, 12-21.

Bagaimanapun, gandingan Demon Anthony Samin-Wan Arif Shaharuddin Wan Mohd Junaidi memberi tentangan hebat dengan mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum tumpas kepada Ashghar Herfanda-Rian Cannavaro 20-22, 22-20, 18-21.

Ong Zhen Yi yang turun beraksi sebagai perseorangan kedua bagaikan memberi sinar harapan kepada perjuangan negara apabila mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum tunduk kepada wakil tuan rumah, Muhammad Iqbal, 8-21, 21-9, 16-21.

Sementara itu, pasukan badminton wanita negara turut mengalami nasib sama apabila tewas kepada tuan rumah 1-3 di pentas final.

Kini, skuad badminton negara akan meneruskan perjuangan dalam acara individu dengan harapan mampu meraih pingat emas.