Arif yakin cabaran Malaysia di Bangkok

Oleh Staff Writer 8 Mei 2018 316
Arif yakin cabaran Malaysia di Bangkok
Pemain badminton beregu lelaki negara, Arif Latif, sedia untuk mempertaruhkan pengalamannya bagi membantu Malaysia menghadapi saingan Piala Thomas di Bangkok yang bakal bermula pada 20 Mei ini.

Tahun 2018 menyaksikan momentum dalam karier Arif terus meningkat, terutama pada Mac lalu, apabila dia bersama Azryn Ayup muncul naib juara Kejohanan Kebangsaan selepas tumpas kepada Goh V Shem-Tan Wee Kiong dalam final.

Dia kemudian kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada penghujung bulan lalu untuk tempoh percubaan selama tiga bulan bersama badan induk berkenaan.

Apa yang dipamerkannya dalam sesi latihan telah membuka peluang buat barisan kejurulatihan untuk menyenaraikannya bagi membarisi skuad Piala Thomas negara.

"Dalam sesi percubaan untuk skuad beregu selama tiga hari, mungkin jurulatih dapat melihat sesuatu dalam corak permainan saya. Saya gembira dan berasa optimis dengan laluan Malaysia kali ini.

"Piala Thomas merupakan acara berpasukan, jadi ia memerlukan keberanian dan fokus yang lebih tetap," kata Arif.

Penampilan tahun ini merupakan kempen Piala Thomas kedua buat Arif selepas pernah membawa cabaran negara dalam bahagian perseorangan dalam edisi 2008 di Jakarta.

Menjelang saingan di Bangkok, Arif dijangka bergandingan dengan Teo Ee Yi dan dia mengakui perlu membentuk persefahaman yang lebih baik dengan pemain berusia 25 tahun itu.

"Setakat ini, masih belum ada keputusan mengenai siapa pasangan saya walaupun cubaan gandingan dilakukan ketika sesi latihan. Apa yang pasti, keinginan untuk menang itu sudah dapat dilihat," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen