Bekas pemain perseorangan badminton lelaki negara, Mohamad Arif Abdul Latif, menggantung raket tanpa sebarang sesalan sekalipun hampa dalam memenuhi potensi sebagai naib juara Kejohanan Remaja Asia pada 2007.

Pemain itu pernah dicanang sebagai jaguh masa depan dalam skuad perseorangan lelaki Malaysia selepas muncul naib juara di Kuala Lumpur pada 2007.

Susulan itu, kerjayanya sebagai pemain sering dibandingkan dengan pemenang kejohanan itu, Chen Long, yang pernah merajai badminton dunia.

Sungguhpun begitu, Arif, yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2013, tetap memiliki kejayaan manis seperti memenangi pingat perak dalam Sukan SEA di Singapura pada 2015 sebelum menghabiskan saki-baki kerjayanya sebagai beregu profesional.

"Sedih juga sebab saya dah lama bermain dan tiba-tiba dapat satu pesanan yang sudah sampai masanya untuk saya berhenti.

"Agak sedih kerana apa yang saya impikan selama ini masih belum tercapai.

"Penyesalan itu tiada kerana saya sendiri yang membuat keputusan dan saya sendiri yang hendak bermain.

"Saya fikir cukuplah setakat ini.

"Saya sudah penat untuk bermain sebab selama ini, saya mengeluarkan wang sendiri untuk menyertai kejohanan.

"Disebabkan itu, saya rasa lebih baik untuk bersara dan fokus kepada keluarga," katanya.

Arif, yang pernah mewakili skuad negara dalam Piala Thomas pada 2008 (perseorangan lelaki) dan 2018 (beregu lelaki), kini bersedia untuk menjadikan bidang kejurulatihan sebagai kerjaya barunya.

Dia dikhabarkan sudah menerima beberapa tawaran daripada beberapa kelab di luar negara sebagai permulaan untuk memasang impian melatih skuad kebangsaan satu hari nanti.

"Mungkin di beberapa kelab ini, saya akan menjaga (pemain) bawah 18 atau bawah 21 tahun.

"Saya masih baru dan perlu banyak belajar.

"Saya perlu mendapatkan seberapa banyak pengalaman untuk melatih skuad negara," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa