Beregu badminton negara, Mohamad Arif Abdul Latif dan Nur Mohd Azriyn Ayub, mengambil keputusan untuk kembali sebagai pemain profesional selepas mereka diberi tempoh percubaan selama tiga bulan dalam skuad kebangsaan bermula April lalu.

"Semalam saya sudah berjumpa dengan Pengurus Besar (BAM, Michelle Chai). Dia cakap, 'Arif dan Azriyn, kami lepaskan kamu. Kami tidak sambung (kontrak) dan kamu harus buat keputusan, sama ada kamu hantar surat peletakkan atau kami hantar surat pemberhentian'.

"Kalau surat berhenti itu seperti kami dibuang, kenapa tidak saya yang berhenti kerana saya masih kejar kejohanan lain.

"Kalau saya tunggu bulan depan, ia memakan masa. Saya ada bincang dengan Azriyn bahawa kami akan keluar hujung bulan ini. Kami akan fokus kepada kejohanan yang dirancang," kata Arif.

Dalam tempoh bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Arif diserap ke dalam skuad Piala Thomas 2018 tetapi dia dan Azriyn tidak dihantar menyertai mana-mana kejohanan.

Dalam keterbukaan berbicara, Arif tidak menyalahkan BAM mahupun presiden, Datuk Seri Norza Zakaria, tetapi menyoal integriti ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit.

"Ketika dapat penajaan hari itu, saya ada empat atau lima kejohanan dalam perancangan. Tetapi, kami tidak dapat pergi sebab kami masuk dalam skuad kebangsaan.

"Saya perlu ikut keputusan skuad kebangsaan. Bukan saya sahaja, kebanyakan pemain tiada perancangan, tidak tahu kejohanan apa.

"Saya nak beritahu, Datuk Norza tidak salah apa-apa dan tidak boleh salahkan BAM langsung. Saya rasa ini kelalaian daripada ketua jurulatih (Soon Kit)," kata Arif.