Jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, mengakui kejayaan dinobat Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2016 menjadi penyuntik semangat untuknya menghadapi Kejohanan Seluruh England, bermula Selasa ini.

Chong Wei mengetepikan enam calon lain untuk meraih Anugerah Atlet Terbaik SAM buat kali kedua sejak 2008.

Kejayaan itu hadir tepat pada waktunya memandangkan Chong Wei akan membuat penampilan semula dalam Seluruh England selepas tidak beraksi tahun lalu ekoran penggantungan kes doping.

Ia juga menjadi misi penting Chong Wei untuk merampas semula gelaran yang dimenanginya pada 2014.

"Ini merupakan Anugerah Atlet Terbaik SAM yang kedua buat saya.

"Saya harap anugerah ini menambah semangat kepada saya kerana tahun ini merupakan tahun mencabar buat saya.

"Seluruh England merupakan kejohanan pertama saya pada tahun ini selepas pulih daripada kecederaan, saya harap dapat mengembalikan keyakinan untuk menghadapi pertandingan," katanya.

Majlis Anugerah SAM 2016 malam tadi turut menyaksikan Ridzuan Puzi dipilih penerima sulung Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik SAM.

Ridzuan melakar sejarah sebagai atlet pertama negara yang berjaya meraih pingat emas dalam temasya Paralimpik.

Chong Wei dan Ridzuan masing-masing menerima trofi dan wang tunai RM10,000 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama untuk menyempurnakan majlis penyampaian hadiah ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dan Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa.