Di sebalik kegemilangan yang diraih kem negara dalam Kejohanan Seluruh England, wujud beberapa individu yang dinamakan jurulatih yang bertindak sebagai tulang belakang pemain dalam mengecapi kejayaan.

Selain pemain, mereka inilah yang seharusnya dihambur ucapan terima kasih.

Meskipun Datuk Lee Chong Wei memerah keringat di dalam gelanggang, peranan jurulatih seperti Tey Seu Bock juga perlu diberikan pujian.

Sebagai jurulatih, Seu Bock adalah individu yang paling rapat dengan Chong Wei, mereka telah melalui setiap perlawanan bersama-sama untuk menyusun setiap langkah bergelar juara.

Tidak diketepikan Hendrawan, yang telah banyak memberikan panduan buat pemain nombor satu dunia itu walaupun tidak dapat terbang sama ke Birmingham atas masalah kesihatan.

"Semalam (kelmari), saya sudah menganalisis perlawanan lawan, saya sudah banyak berbincang dengan Lee Chong Wei tentang apa yang perlu dia lakukan.

"Berdepan Shi Yuqi, dia mempamerkan aksi sempurna," ujar Seu Bock.

Dalam acara beregu, Jeremy Gan dan Chin Ee Hui adalah individu yang sering berada di belakang pemain ketika perlawanan berlangsung.

Saat penting sepertimana barisan pemain negara hilang fokus, merekalah insan yang akan memastikan pemain negara kekal tidak terpesong dengan tekanan di atas gelanggang.

"Setakat ini, perkembangan mereka berdua memang bagus, saya harap mereka mengekalkan konsistensi ini dalam perlawanan akan datang," kata Jeremy.