Sepuluh hari selepas melapor diri di Akademi Badminton Malaysia, perseorangan meningkat naik negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin, berkongsi betapa istimewa berlatih di bawah kendalian Datuk Misbun Sidek.

Aidil, bakat profesional yang disunting dari Akademi Sports Affairs, sebelum ini memiliki gambaran acuan latihan Misbun berdasarkan perguruan bersama adiknya, Rashid Sidek.

Bagaimanapun, Aidil tidak menjangkakan keamatan latihan di bawah Misbun berlipat kali ganda daripada aspek tempoh sesi harian.

Kebiasaannya, skuad perseorangan lelaki negara akan mula berlatih seawal jam 6 pagi hingga 10 pagi sebelum berehat untuk sesi petang.

Aidil masih mampu tersenyum, apatah lagi selepas berpeluang berbicara dengan Misbun soal apa yang mahu dicapainya dalam skuad kebangsaan, begitu juga kemahuan membuktikan kewibawaannya dalam kejohanan pada 2019.

"Berlatih di bawah Misbun, ketahanan amat diperlukan. Jika tidak, kami tidak mampu mencapai tahap yang diinginkan," kata Aidil.

"Perkara paling menarik adalah berlatih bersama rakan sepasukan yang baru, melihat corak permainan yang berbeza memberikan peluang untuk saya mempelajari sesuatu."