Perwatakan mantap seperti dalam lima perlawanan lalu, terutama ketika menentang PDRM FA, Rabu lalu, dituntut daripada pemain PKNP FC apabila turun bertemu Selangor dalam aksi Liga Super 2019 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, berharap anak buahnya berupaya mengekalkan momentum yang menyaksikan pasukan itu menang tiga perlawanan terakhir liga, iaitu ke atas Kuala Lumpur, Terengganu dan Melaka United, serta layak ke suku akhir Piala FA.

"Ketika ini, pasukan berada di atas landasan betul. Jadi, saya berharap pemain turun dengan sikap yang betul serta mampu mengekalkan rentak kemenangan," katanya.

Abu Bakar yang juga pengurus pasukan menjelaskan pasukan itu bebas daripada kecederaan dan penggantungan untuk memberinya peluang menurunkan kesebelasan utama seperti ketika menentang PDRM di Manjung, Perak.

Pasukan itu bangkit untuk memenangi perlawanan 3-2, sekali gus mara ke suku akhir trofi saingan kalah mati itu.

Bagaimanapun, beliau berharap anak buahnya tidak leka dibuai kejayaan kerana mereka bertemu pasukan handalan seperti Selangor.

"Pemain perlu lupakan sementara kejayaan dalam Piala FA dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap perlawanan dengan Selangor.

"Selangor bukan calang-calang pasukan. Mereka memiliki tenaga pemain import dan tempatan yang berwibawa.

"Hakikat tersingkir daripada saingan trofi kalah mati itu, ia menjadikan Selangor ibarat harimau yang sedang terluka malam ini.

"Mereka sangat berbahaya. PKNP perlu berwaspada dan tidak melakukan sebarang kesilapan yang akan memberi ruang untuk Selangor menghukum kami," katanya.