Gandingan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, akan menawarkan segala yang mereka ada demi tidak mengecewakan hasrat Datuk Lee Chong Wei untuk melihat bakat muda membawa cabaran Malaysia di pentas dunia.

Nama Aaron dan Wooi Yik meniti di bibir Chong Wei sebagai pendukung utama skuad negara di samping dua perseorangan lelaki dan wanita nombor satu Malaysia, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei.

Lebih mengagumkan, purata usia empat pemain itu adalah 21 tahun.

Meskipun ada tekanan tambahan, Aaron dan Wooi Yik menjanjikan peminat badminton tanah air aksi terbaik setiap kali turun ke gelanggang latihan dan kompetitif.

"Ini adalah tanggungjawab kami untuk mengharumkan nama negara. Kami perlu terus bekerja keras," kata Wooi Yik.

"Kini Chong Wei sudah bersara, jadi kami perlu memastikan kejayaan boleh dicapai dan perlu mempamerkan persembahan terbaik," kata Aaron pula.

Bagi dua pemain itu juga, usia bukan pengukur taraf kualiti seseorang pemain atau gandingan untuk mengetuai skuad negara.

Kematangan daripada naib juara Seluruh England 2019 itu ialah untuk mengekalkan prestasi bagi baki musim ini.

"Dalam saingan beregu, ia sangat kompetitif dan setiap beregu mahu berada dalam kelompok 10 terbaik bagi layak ke Sukan Olimpik," kata Aaron lagi.

"Kami akur terdapat penurunan dalam persembahan selepas saingan Seluruh England. Tetapi kami telah berbincang dengan jurulatih untuk memperbaiki beberapa kelemahan sebelum ini," tambah Wooi Yik.