Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, bertekad menamatkan badi apabila diundi menentang juara dunia, Li Jun Hui-Liu Yu Chen dari China dalam pusingan pertama Terbuka Indonesia.

Naib juara Seluruh England 2019 itu akan beraksi di Jakarta bermula Selasa depan dan diikuti Terbuka Jepun di Tokyo serta Terbuka Thailand di Bangkok pada 30 Julai sehingga 4 Ogos depan.

Aaron mengakui peningkatan ranking ke kelompok 10 terbaik dunia adalah pemangkin semangat yang diperlukan untuk mengalahkan gandingan nombor tiga dunia, Jun Hui-Yu Chen.

"Ini memang buat kami lebih bermotivasi. Di Indonesia nanti, kami akan menentang lawan dari China dan kami pernah berdepan mereka sebelum ini tetapi kalah. Namun, tiga pertemuan itu menyaksikan pertemuan yang sengit dan kami hampir menang," katanya.

Sementara itu, gandingan nombor tiga negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, menganggap prestasi semasa Aaron dan Wooi Yik sebagai cabaran baru untuk terus bekerja keras dalam kem beregu lelaki kebangsaan.

"Situasi ini memang baik untuk beregu lelaki. Kami boleh bekerjasama dan membantu satu sama lain," ujar Ee Yi.

Dalam perkembangan lain, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, turut mendaki satu anak tangga dalam kedudukan ranking dunia apabila kini berada di tempat ke-17 sambil beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, menduduki tangga ke-17 berbanding 18 sebelum ini.