Pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mendapat lonjakan semangat sebelum menghadapi tiga kejohanan utama bermula minggu depan apabila buat kali pertama berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Berdasarkan kedudukan ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain yang masing-masing berusia 22 dan 21 tahun itu naik satu anak tangga untuk berada di tangga ke-10 dunia.

Naib juara Seluruh England 2019 itu, yang akan beraksi dalam Terbuka Indonesia di Jakarta bermula Selasa ini, bakal berdepan juara dunia dan pasangan nombor tiga dunia, Li Jun Hui-Liu Yu Chen dari China dalam pusingan pertama.

"Ini merupakan sasaran kami berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia. Selepas ini, kami akan terus bersaing meningkatkan lagi ke tangga kelapan bagi memudahkan kelayakan ke Sukan Olimpik," kata Aaron.

"Saya turut berharap rakan sepasukan lain turut meningkat naik supaya meraih keputusan yang positif."

Setakat ini, pasangan negara itu tewas kesemua tiga perlawanan ketika berdepan Jun Hui-Yu Chen dengan kali terakhir mereka bertemu ketika saingan Piala Sudirman 2019, Mei lalu.

Aaron-Wooi Yik turut akan menyertai Terbuka Jepun di Tokyo, 23 hingga 28 Julai ini, dan Terbuka Thailand di Bangkok (30 Julai hingga 4 Ogos).