Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya perlu mendaki satu anak tangga lagi untuk berada dalam kelompok elit badminton antarabangsa apabila kini di tangga ke-11 dunia.

Ia memberi petanda positif memandangkan dalam kesemua lima kategori badminton, hanya beregu campuran berada dalam kelompok lima terbaik menerusi pemain profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Peningkatan dari tangga ke-13 pada bulan lalu ke kedudukan ke-11 menyaksikan mereka kini boleh dianggap sebagai pasangan utama negara dalam acara beregu lelaki dengan meninggalkan senior seperti Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta gandingan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Berdasarkan congakannya, kedudukan nombor 10 dunia tidak mustahil dapat dicapai dalam masa terdekat berikutan pengunduran pemain Taiwan, Chen Hu Ling, yang sebelum ini bergandingan dengan Wang Chi Lin untuk mengisi slot kesembilan dunia, mengumumkan persaraan.

"Peningkatan kami disifatkan sebagai baik tetapi ranking kami berpeluang untuk melonjak ke tangga ke-10 memandangkan Chen Hu Ling sudah bersara," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pagi tadi.

Selain Aaron-Wooi Yik, Malaysia juga masih boleh menyandarkan harapan kepada dua lagi beregu wanita dan campuran, iaitu menerusi Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta Goh Soon Huat -Shevon Jemie Lai untuk memecahkan kelompok 10 terbaik dunia dengan masing-masing berada di tangga ke-13.

"Kami kini dilabel sebagai beregu utama negara tetapi ia masih belum memadai.

"Kami perlu terus memperbaiki ranking untuk mencari kedudukan yang lebih selesa," tambahnya.