Belum puas dengan pencapaian musim 2018, pemain beregu meningkat naik negara, Aaron Chia, sudah memandang kepada keperluan untuk mencipta impak dalam dua kejohanan pertama musim 2019.

Di sebalik prestasi turun naik skuad beregu lelaki negara musim ini, Aaron dan gandingannya, Soh Wooi Yik, mempunyai cerita yang boleh dibanggakan.

Aaron, 21, dan Wooi Yik, 20, membuat penampilan dalam 16 kejohanan bertaraf terbuka musim ini.

Tujuh daripadanya menyaksikan mereka layak ke suku akhir, termasuk aksi sulung mereka dalam Kejohanan Dunia.

Mereka hampir mendakap kejuaraan sulung musim ini sebelum tumbang dalam dua final, iaitu dalam Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia dan Terbuka Saarlorlux.

Awal tahun depan bakal menyaksikan mereka memulakan kempen dalam Kejohanan Masters Thailand dan kemudiannya, Masters Malaysia.

"Masters Thailand juga penting buat kami memandangkan kami tidak beraksi dalam kejohanan tahun ini.

"Kalau kami dapat ke separuh akhir mahupun perlawanan akhir, ia boleh membantu kami memungut mata bagi memperbaiki ranking dunia kami.

"Masters Malaysia juga penting memandangkan kami bakal beraksi di tempat sendiri.

"Sudah lama kami tidak bermain di tempat sendiri, oleh itu saya berharap kami dapat meraih keputusan yang terbaik," kata Aaron.