Seramai 120 pemain lelaki dan perempuan bawah 18 tahun memeriahkan edisi sulung Kejohanan Badminton AirAsia/BAM Liga Remaja Kebangsaan peringkat negeri Terengganu yang berakhir malam tadi.

Kategori lelaki didominasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin selepas cemerlang memenangi kesemua lima perlawanan, termasuk mengatasi seteru utama, SMK Datuk Razali Ismail, 3-2 dalam aksi terakhir.

Selaku juara, SMK Chung Hwa Wei Sin membawa pulang hadiah kemenangan RM1,000 manakala SMK Datuk Razali Ismail yang mencatat empat kemenangan dan satu kekalahan terpaksa berpuas hati dengan RM500 sebagai naib juara.

Kekecewaan SMK Datuk Razali Ismail terubat apabila skuad perempuan mereka dinobatkan juara kategori itu, juga dengan rekod bersih lima kemenangan daripada lima perlawanan, sekaligus memenangi hadiah RM700.

Gelaran naib juara berpasukan perempuan disandang SMK Chung Hwa Wei Sin (RM350) dengan empat kemenangan.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Badminton Terengganu (PBT), Azmi Mamat, kejohanan seumpama itu memberi peluang kepada negeri-negeri untuk meningkatkan kualiti pemain, terutama di peringkat akar umbi.

Azmi turut memuji inisiatif Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta AirAsia dengan Terengganu menjadi negeri pertama memulakan saingan itu sejak ia dilancarkan BAM, Julai lalu.

Katanya, masalah ketandusan pemain berpotensi untuk diketengahkan juga dapat diatasi kerana lebih ramai pemain dapat dikenal pasti dengan aksi kompetitif ini.

“Kejohanan ini akan dijalankan di setiap negeri sebelum kemuncak Liga Remaja Kebangsaan membariskan pemain terbaik dari seluruh negeri yang dijangka diadakan pada awal 2018.

“PBT sudah mempunyai bayangan barisan terbaik mewakili Terengganu dalam kategori lelaki. Namun, kami masih menilai prestasi skuad perempuan,” katanya.

Kejohanan Badminton AirAsia/BAM Liga Remaja Kebangsaan merupakan cetusan idea Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, dengan menggunakan format berpasukan Piala Thomas dan Piala Uber.