TFC letak sasaran tinggi sasar semua trofi

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) meletakkan sasaran untuk menjuarai semua pertandingan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) 2020.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, melahirkan keyakinan itu selepas menilai pembentukan barisan Terengganu FC (TFC) diketuai pengendali, Mohd Nafuzi Zain.

Malah, magis Nafuzi serta dua pembantunya, Subri Sulong dan Rosdi Talib, yang menjuarai Piala Malaysia 2001 ketika bergelar pemain turut dijadikan sandaran utama TFC musim ini. 

"Tidak salah untuk meletakkan sasaran yang tinggi kerana itu perkara biasa dan saya optimis pemain-pemain import serta tempatan akan memberikan yang terbaik.

"Yang paling penting adalah untuk membaiki pencapaian 2019.

Sasaran lebih spesifik adalah TFC menjuarai semua pertandingan, bukan sekurang-kurangnya satu trofi seperti sebelum ini," katanya.

Sementara itu, langkah penjimatan sehingga 25 peratus telah diambil PBSNT dalam mempersiapkan pasukan dengan penambahan pemain kelahiran negeri itu.

Walaupun tidak mendedahkan jumlah sebenar bajet musim 2020, sebanyak 80 peratus pemain adalah anak jati Terengganu berbanding musim lalu hanya 60 peratus.

"Saya harap TFC mulakan musim baru dengan semangat yang tinggi dan baiki keputusan yang kurang baik sebelum ini," tambah Dr. Ahmad Samsuri.


Editor: Nafis Abdullah