Biarpun berjaya melunaskan tugasan getir bagi membuktikan kelayakannya untuk bergelar pencabar utama, Kofi Kingston terus mendapat layanan kelas kedua oleh Vince McMahon.

Sebagai syarat untuk membuktikan yang dirinya benar-benar layak untuk bertemu Juara WWE Daniel Bryan di acara WWE Wrestlemania awal bulan hadapan, Kofi perlu berhadapan dengan lima lawan yang bukan calang-calang. Diletakkan dalam format perlawanan berangkai (gauntlet), bekas Juara Antara Benua ini perlu menewaskan kelima-lima lawannya iaitu Sheamus, Cesaro, Erick Rowan, Samoa Joe dan Juara Dunia 14 kali Randy Orton.



Hasil strategi ampuh oleh Kofi, The Bar berjaya ditumbaskan secara bersih melalui gerakan penyudah Trouble in Paradise dan SOS. Bintang gergasi Erick Rowan pula dibatalkan apabila membelasah Kofi menggunakan kerusi besi. Namun harga yang mahal perlu dibayar apabila Rowan bertindak melakukan gerakan Claw Slam lantas menghempas Kofi di atas meja pengulas.



Juara Amerika Syarikat WWE Samoa Joe pula muncul untuk menghabiskan Kofi. Namun semangat juang bintang kelahiran Ghana ini tidak mudah luntur. Joe yang cuba melakukan gerakan Muscle Buster berjaya dikesampingkan dan Kofi berjaya menindan Joe sekaligus menyingkirkan bintang Samoa tersebut.

Randy Orton juga kemudian menerima nasib serupa. Walaupun mendominasi perlawanan ditambah faktor Kofi yang telah keletihan. Kofi berjaya memerangkap Orton melalui tindanan bergulung untuk tiga kiraan pin, hasil gerakan berbisa RKO yang tidak kesampaian.

Kejayaan Kofi disambut penuh gembira oleh peminat dan sekutunya dalam pasukan The New Day, Big E dan Xavier Woods. Namun Vince McMahon seolah-olah terus menekan Kofi apabila lawan keenam diumumkan iaitu tidak lain dan tidak bukan, Juara WWE Daniel Bryan. Jika Kofi berjaya menewaskan Bryan, barulah beliau akan mendapat slot pencabar utama yang diidamkannya.

Dengan baki sisa kudrat yang tidak seberapa, satu layangan lutut oleh Bryan menyebabkan Kofi sekali lagi berputih mata apabila tewas kepada Juara WWE itu. Buat kesekian kalinya, Kofi telah dinafikan haknya walaupun telah 11 tahun memerah keringat dan membanting tulang untuk McMahon.

Tidak berpuas hati dengan apa yang dialami sahabat mereka, Xavier Woods dan Big E mengacah untuk meninggalkan WWE dan beralih kepada kerjaya lain. Ujar Woods, kemahirannya dalam bidang permainan video memungkinkan penghijrahannya jika Kofi terus dilayan sedemikian rupa.

Kekecewaan yang sama turut dilahirkan oleh Big E. Menurut bekas Juara NXT ini, para bintang WWE sewajarnya dinilai berdasarkan merit. Namun kini beliau sedar yang ia hanyalah sekadar sebuah angan-angan yang kian menjauh.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWEWrestlemania pada 8 April depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.