Brock Lesnar mampu tersenyum girang semalam apabila berjaya memecahkan dominasi Kofi Kingston selaku Juara WWE apabila berjaya menundukkan bintang kelahiran Ghana tersebut di acara WWE Smackdown semalam.

Malang buat Kofi apabila usahanya untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya sejak April lalu langsung tidak berhasil apabila dalam tempoh kurang lima saat selepas loceng perlawanan dibunyikan, Kofi longlai tidak berdaya apabila terperangkap dalam gerakan penyudah F5 oleh The Beast.



Baru sahaja ingin meraikan kemenangan, bergema lagu tema Rey Mysterio yang muncul dengan misi balas dendam. Setelah apa yang dilakukan oleh Brock ke atas dirinya dan juga anak lelakinya Dominique di acara Raw Selasa lalu, Rey semestinya tidak akan berdiam diri.

Tidak disangka-sangka yang Rey tidak berseorangan. Bersama di sampingnya, muncul satu sosok yang pernah menghantui Brock satu ketika dulu. Ia tidak lain dan tidak bukan, bekas Juara Heavyweight Dunia UFC (Ultimate Fighting Championship) iaitu Cain Velasquez.



Ibarat bertemu musuh ketat di penjelmaan lalu, Brock kelu tidak terkata menyaksikan Velasquez masuk ke dalam gelanggang. Dengan mudah bintang seni bela diri campuran berusia 37 tahun itu menumbangkan Brock disusuli beberapa pukulan padu ke atas juara baharu WWE itu. Mujur Brock dapat meloloskan diri dan beredar segera dengan pandangan tidak percaya.

Untuk rekod, bekas Juara Heavyweight Dunia UFC ini pernah menewaskan Brock Lesnar di acara UFC 121 pada Oktober 2010 dalam perebutan Kejuaraan Heavyweight. Justeru, tidak pelik sekiranya Brock masih lagi menyimpan rasa cuak terhadap lawan yang pernah meng’ayam’kannya itu setelah bermaharajalela di WWE selama ini.

Cain Velasquez turut mempunyai pengalaman bergusti secara profesional apabila beraksi untuk organisasi gusti terbesar Mexico iaitu Lucha Libre AAA Worldwide awal tahun ini. Kemunculan sulungnya sebagai penggusti telah mendapat pujian daripada beberapa penganalisis sukan ini termasuk Dave Meltzer dari PWInsider dan jaguh tinju dan gusti ternama, Daniel Cormier.

Pertembungan semula Velasquez – Lesnar di gelanggang gusti WWE dijangka bakal berlangsung di acara WWE Crown Jewel pada 31 Oktober depan di Arab Saudi.

Keputusan lain acara Smackdown:
1. The Rock dan Becky Lynch membelasah King Corbin
2. Juara Wanita Raw Becky Lynch & Charlotte Flair menewaskan pasangan Juara Wanita Smackdown Bailey & Sasha Banks
3. Shane McMahon dipecat daripada WWE setelah tewas kepada Kevin Owens dalam perlawanan bertangga
4. Braun Strowman, The Miz & Heavy Machinery tewaskan gandingan Juara Beregu Raw Dolph Ziggler & Robert Roode, Randy Orton dan AJ Styles
5. Roman Reigns tumpaskan Erick Rowan dalam perlawanan Lumberjack

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Hell In A Cell pada pagi esok dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.