Naib Presiden Eksekutif Bahagian Bakat, Siaran Langsung dan Kreatif WWE, Paul ‘Triple H’ Levesque tanpa berselindung menyatakan yang beliau kurang gembira dengan jenama NXT waktu ini.

Perkara ini didedahkan dalam satu sidang video yang berlangsung semalam bagi mempromosikan acara NXT Takeover: Orlando. Menurut Hunter, ketidakgembiraan ini bukanlah merujuk kepada keseluruhan jenama tersebut. Sebaliknya faktor ingin menjadikan ia sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ada kini menjadikan dirinya sedikit tawar hati terhadap jenama ketiga WWE itu.

“Saya bukan tidak gembira dengan barisan penggusti yang ada di NXT. Ia langsung tidak ada kena mengena dengan mereka. Ia lebih kepada apa hala tuju jenama ini di akhirnya, pasukan kreatif, pasukan produksi dan semua yang berkaitan dengannya. Itulah antara perkara yang menyebabkan ketidakgembiraan ini,” ujar Juara Dunia WWE sebanyak 14 kali ini.

performance centre

Tambahnya lagi, jenama NXT dan Pusat Pembangunan Bakat WWE dicipta untuk mewujudkan pelbagai perkara dan banyak menyumbang kepada produk WWE itu sendiri sejak beberapa tahun lalu terutama dalam penghasilan penggusti terbaik untuk organisasi tersebut.

“Semuanya berjalan dengan amat baik sekali. Namun apabila bintang-bintang NXT ini dinaiktaraf ke peringkat yang lebih tinggi dan menyertai roster utama di Raw dan Samckdown, ia seolah-olah menghadkan momentum yang hendak dibina di NXT.

Kami kehilangan bakat-bakat besar. Semasa Draf WWE tahun lalu, kami kehilangan semua bintang wanita utama NXT kecuali Asuka. Oleh kerana itu, kami terpaksa bermula semula dari awal dan merombak kembali segala yang telah dirancang.”

Namun demikian, beliau gembira kerana segala yang produk NXT lahirkan terbukti berjaya. Banyak perkara yang dicetuskan NXT kini turut digunapakai di roster utama, dan mereka harus terus menambahbaik kualiti produk dari semasa ke semasa.

“Sebenarnya kami terperangkap dengan kekangan sumber manusia dan kemampuan untuk terus mara. Pada saya, lebih membimbangkan jika saya kata saya tidak gembira, dan saya tidak melakukan apa-apa untuk memperbaikinya. Kami sedang dalam usaha ke arah itu. Proses pencarian bakat akan terus dilakukan dan saya pasti kami kini mempunyai senarai penggusti terbaik untuk beberapa minggu dan bulan kebelakangan ini,” jelas Triple H mengakhiri diskusi tentang NXT.

Tidak dapat dinafikan, NXT yang baru bertapak sebagai jenama untuk mengasah bakat-bakat baharu WWE dikira amat berjaya. Daripada sebuah program realiti mingguan yang menjadi bahan jenaka, Triple H dengan berani mentransformasikan jenama ini ke sebuah medan untuk memperkenalkan penggusti hebat bagi masa depan.

Triple H and NXT guys

Dengan proses rekrut dan pencarian bakat yang tiada noktahnya, Triple H dan pasukannya membuka pintu NXT untuk para penggusti indie terbaik seluruh dunia untuk beraksi di sana. Nama-nama besar dari organisasi seperti TNA, Ring Of Honor dan pelbagai badan gusti bebas mula membanjiri roster NXT, menjadikan persaingan di jenama ini semakin sengit. Bukan itu sahaja, atmosfera yang dicipta NXT agak berbeza berbanding produk WWE lain. Menonton NXT ibarat seperti menonton sebuah acara sirkit bebas. Menjadikan jenama ini begitu digilai oleh para NXT Universe yang kebanyakannya adalah pengikut gusti indie di luar WWE.

Seperti yang diutarakan Triple H, masalah berlaku apabila bintang-bintang hebat mereka diserapkan ke roster utama. Mereka terpaksa mencipta bintang baharu dan proses ini bukanlah sesuatu yang mudah. Kebanyakan penggusti muda yang menyertai NXT masih hijau dan kurang pengalaman. Justeru untuk meletakkan mereka di slot main eventer tidak semudah kata-kata. Mereka perlu dilatih dengan penuh disiplin sehingga para jurulatih merasakan mereka benar-benar telah bersedia.

Kemasukan jaguh-jaguh gusti veteran ke jenama tersebut juga banyak membantu. Nama-nama seperti Shinsuke Nakamura dan Bobby Roode (kini Juara NXT) sedikit sebanyak membantu para penggusti muda ini untuk menimba lebih banyak pengalaman. Kemasukan mereka ke NXT juga bukan untuk tempoh yang lama. Setelah mereka benar-benar dilihat telah menyesuaikan diri dengan cara bergusti yang dikehendaki WWE, mereka juga akan dinaiktaraf dan diserap ke roster utama.

asuka

Perkara inilah yang merunsingkan Triple H. Lihat sahaja kepada Juara Wanita NXT waktu ini iaitu Asuka. Setelah Bayley, Sasha Banks, Charlotte Flair dan lain-lain meninggalkan NXT untuk ke Raw, Asuka dilihat begitu dominan kerana kekurangan pencabar. Yang tinggal hanyalah penggusti-penggusti yang masih mentah seperti Billie Kay, Peyton Royce dan lain-lain. Mujur terdapat bintang muda seperti Ember Moon yang cepat menyerlahkan potensinya. Dapatlah beliau mengisi kelompongan yang ada. Namun untuk beliau menewaskan Asuka, masih menjadi persoalan kerana kredibiliti wanita Jepun ini masih jauh meninggalkan bintang-bintang lain.

Walau apapun, pastinya Triple H dan pasukannya punya rancangan jangka panjang untuk terus menjadikan NXT relevan di mata peminat. Oleh kerana itulah, dapat kita saksikan yang wakil-wakil WWE kini sedang dalam usaha mengintai bakat-bakat baharu dari seluruh dunia termasuk di benua Asia Tenggara untuk dilatih bagi menjadi pelapis bakat-bakat sedia ada.

Triple H sendiri dalam temubualnya dalam segmen First Take di ESPN baru-baru ini menyebut,
“Kami akan rekrut sesiapa dan di mana sahaja. Tidak kira sama ada di China, dan kami baru sahaja mengambil 10 warga China untuk menjalani ujian percubaan. Sama ada dari Filipina, Malaysia, Singapura, kami akan menjelajah seluruh dunia untuk mencari bakat baharu.”

Tidak mustahil, jaguh-jaguh dari Asia Tenggara pula akan menjadi bintang utama di NXT tidak lama lagi. Nama seperti Andruew Tang, Eurasian Dragon dan Greg Glorious dari Singapura pastinya dalam intaian WWE waktu ini. Dan jangan pula kita lupakan jaguh tempatan kita di Malaysia Pro Wrestling seperti Shaukat, The D, Furious Faizal, Emman The Kid dan ramai lagi. Siapa tahu, lima tahun akan datang, salah seorang daripada mereka akan diambil WWE dan menjadi juara di organisasi gusti terbesar dunia itu.

Saksikan acara NXT Takeover: Orlando pada 2 April ini sempena musim Wrestlemania yang akan ke udara keesokan harinya. Hanya di WWE Network saluran 820/840.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro On-the-Go.


Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komunitiPeminat Gusti Malaysiayang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.