Pertembungan melibatkan jaguh gusti profesional dengan bintang daripada lapangan sukan tempur lain bakal menjadi kenyataan apabila Juara WWE Brock Lesnar akan beraksi menentang bekas Juara Heavyweight Dunia UFC (Ultimate Fighting Championship) Cain Velasquez, manakala Braun Strowman pula akan bertemu jaguh tinju dunia Tyson Fury di acara WWE Crown Jewel pada 1 November depan.

Brock Lesnar yang baru sahaja merampas Kejuaraan WWE daripada Kofi Kingston di acara WWE Smackdown minggu lalu, berdepan detik cemas apabila mangsa belasahannya di acara WWE Raw sebelum itu, Rey Mysterio muncul bersama Velasquez dan menerima serangan bertubi-tubi daripada jaguh berusia 37 tahun itu sebelum sempat meloloskan diri.

Ketika era Brock Lesnar beraksi di UFC beberapa tahun lalu, Velasquez merupakan individu yang telah menewaskannya dalam pertembungan merebut Kejuaraan Heavyweight dan ini merupakan pertembungan semula kedua jaguh tempur seni pertahanan diri campuran ini di arena yang berbeza iaitu di gelanggang gusti WWE.

Marc Raimondi dari ESPN melaporkan yang Velasquez telah pun mengikat kontrak bersama WWE dan mengisytiharkan persaraannya daripada gelanggang oktagon UFC.
Bintang gergasi Braun Strowman pula bakal berhadapan satu lawan satu dengan Tyson Fury setelah keduanya mula saling cabar mencabar juga di acara WWE Smackdown minggu lalu.

Bekas juara dunia tinju dari United Kingdom ini telah bergelut dengan The Monster Among Men di acara Raw minggu ini dan WWE tidak akan melepaskan peluang ini bagi melagakan dua bintang dari dunia berbeza di acara WWE Crown Jewel kelak.

Untuk rekod, Braun Strowman mempunyai ketinggian 203 cm dengan berat 173 kilogram, manakala The King Of Gypsy pula mempunyai ketinggian 206 cm dan berat 117 kilogram, sekaligus menjadikan perseteruan epik ini ibarat pertembungan dua gergasi. https://youtu.be/X46muemkVPo

Acara WWE Crown Jewel akan bersiaran secara eksklusif di rangkaian WWE Network pada pagi Jumaat 1 November depan dari King Fahd International Stadium, Riyadh, Arab Saudi.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Crown Jewel dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.